Proses Penambahbaikan Rumah

14.7.15


Assamualaikum. 
Dengan Nama Allah yang Maha Pengasih Maha Penyayang.

Dah seminggu lebih tak balik kampung. Rindu pulaks. Tak tahu apa cerita proses renovate rumah gua. Kadang-kadang rasa malas balik kampung pun ada bukan sebab tak mau balik tapi tak tahan dengan segala debu dan pasir yang ada. Buat aku sesak nafas. Bila tidur je gigih aku nak bernafas macam orang kena asma. Bila balik kampung je kena selesema, nak demam, batuk, pening kepala. Mandi pun rasa takut-takut. Takut kena skodeng. 

Pakaian kena lengkap tutup aurat 10 jam setiap kali ada proses-proses renovate rumah. Tidurlah dengan tudung-tudung sekali. Tak ada privacy kat rumah sendiri. Nak masak jangan cakap la. Berterabur. Sos, kicap, garam entah kemana letaknya. Berserabutnya. Rasa macam nak panggil Eric suruh deco rumah ni. Dua minggu lepas aku balik kampung pun tak siap-siap lagi. Terpaksa la tahan. Tapi keadaan dah ok sikit dari mula-mula dulu. 

[Kerja saki baki yang tak siap lagi]
[Keadaan dapur yang sangat serabut]

Bila dah ada kat kampung tahap kemalasan aku nak balik kajang memang tinggi. Malas nak drive jauh-jauh. Pernah lepas sahur tertidur sampai 6.30. Kelam kabut oii.. Nak mandi, solat, iron pakaian lagi. Bila dah lambat, jadi terpaksa drive macam orang gila. Kalaulah aku guna kereta power sikit confirm berdesup aku bawa kereta. Nasib baik guna viva je. Kang laju-laju sangat dengan aku-aku sekali melayang. Hari tu kereta aku kena sagat baik punya. Entah siapa yang parking kereta tak pandai habis sisi belakang kereta aku bercalar. Kepada orang yang melanggar kereta gua tu it's ok. Redha je la. Benda nak jadi kan.

Tadi buka whatsapp abang send gambar ruang tamu. Dah siap dihias walaupun tak complete sepenuhnya. Abang aku bukan mat lembut ya. Dia jantan uolls. Cuma kelebihannya suka menghias rumah citarasa macam orang perempuan. Abang lagi sorang pun sama badan je nampak sado tapi expert gila bab memasak dan menjahit langsir yang jugak kerja orang perempuan. Ok cukup. Malas nak cerita banyak. 


Dah dekat dah kita nak sambut hari raya. Pejam celik pejam celik dah nak masuk bulan syawal. Alhamdulillah masih dipanjangkan umur dan diberi peluang oleh Allah untuk bertemu dengan bulan ramadhan. Esok pagi-pagi nak balik kampung takut nak meredah jammed kalau balik lewat. Doakan aku selamat sampai ke kampung ya. Moga dapatlah aku bertemu syawal untuk tahun ni. In Sha Allah kalau masih dipanjangkan umur. 

As Salam.

Husnuzon atau Suuzon??


Assalamualaikum. 
Dengan Nama Allah yang Maha Pengasih Maha Penyayang.

[Image: hadiahbunga.com]

Bersangka Buruk atau Suuzon

Hai uolss. Heh! Dah lama menyepi. Pernah tak sepanjang hidup banyak bersangka baik @ husnuzon pada orang lain. Kalau ya, syabas bete. Memang terbaik. Perkataan lawan kepada husnuzon adalah suuzon. Faham tak suuzon tu apa?? Bersangka buruk atau suuzon adalah menaruh curiga terhadap orang lain yang belum terbukti orang tersebut melakukan kesalahan. Apabila kita menuduh seseorang melakukan perkara yang tidak dia lakukan hukumnya adalah berdosa besar. Orang yang memfitnah saudara muslimnya yang lain seolah-olah memakan daging saudaranya yang telah mati dan perbuatan itu lebih buruk dari membunuh (membunuh orang yang tidak bersalah).

Sebagai contoh, pada bulan Ramadhan yang mulia, seorang pakcik ternampak seorang wanita cantik bertudung di kedai makan yang mana di hadapannya terdapat sebotol air. Dia mengomel sendirian : 

"Eee...namanya je pakai tudung tapi tak puasa.. puihh!!"

Kemudian pada masa yang sama ada seorang lelaki baru keluar dari tandas bersama seorang budak kecil. Lelaki tersebut adalah suami kepada wanita cantik bertudung bersama dengan anak mereka dalam lingkungan 3 tahun. Si ibu menghulurkan air pada si anak yang kehausan. Rupa-rupanya air tersebut adalah untuk anaknya. Tidak tahu hujung pangkal apa yang berlaku, terus bersangka buruk terhadap orang lain.

Suuzon bukan hanya berlaku pada orang biasa tetapi juga berlaku pada orang yang faham agama. Kita create satu situasi lain. Seorang wanita bertudung agak 'besar' berdiri sedang menunggu di stesen komuter. Ada seorang wanita melayu yang tidak bertudung melewatinya dan duduk di suatu tempat duduk. Terdetik dalam hatinya:  

"Pakaian ketat, seksi pulak tu. Perangai tak tahu la macam mana.."

Tanpa diduga wanita tadi dengan baik hatinya membantu seorang wanita tua yang sedang kepenatan dengan memberikan tempat duduk kepada wanita tua itu. Dia telah bersangka buruk terhadap sikap wanita tersebut hanya kerana pakaian yang dipakai olehnya.

Situasi lain, seorang lelaki agak berumur yang kacak bergaya sedang berjalan dengan seorang wanita muda dalam lingkungan 20-an sambil wanita itu memaut lengan lelaki tersebut. Agak menarik penampilannya. Mereka memasuki sebuah restoran. Orang sekeliling berbisik-bisik : 

"Sugar daddy ler tu. Gatalnya perempuan."
"Amboi dah tua ganyut pun merenyam dengan anak dara orang. Si perempuan tu pun sama."

Telefon wanita muda itu berdering. "Hello mama, nak pesan makanan apa?? Anis dengan daddy dekat restoran xyz ni.." Mungkin orang sekeliling tidak tahu betapa rapatnya hubungan seorang ayah dan anak tersebut kerana kemungkinan itulah satu-satunya anak yang dia ada. Kelihatannya mereka seperti pasangan kekasih tetapi sebenarnya bukan. 


Bersangka Baik pada Perkara Maksiat


Walaubagaimanapun bersangka baik pada perkara-perkara maksiat dan dosa adalah sama seperti kita bersubahat terhadap perkara-perkara mungkar yang dilakukan oleh seseorang. Ia juga secara tidak langsung akan menyebabkan kita menanggung saham dosa dari perbuatan buruk yang dilakukan oleh orang tersebut. Sebagai seorang islam kita harus mencegah segala perbuatan dosa dan maksiat yang dilakukan oleh saudara sesama islam

"Barangsiapa diantara kamu yang melihat kemungkaran, hendaklah ia merubah/mencegah dengan tangannya (kekuasaannya) jika ia tidak mampu, maka dengan lidahnya(secara lisan), dan jika ia tidak mampu jua, maka dengan hatinya (merasa tidak senang dan tidak setuju). Dan itu adalah selemah-lemah iman." (Diriwayatkan oleh Imam Muslim)

Sebagai contoh kita ternampak pasangan remaja ini sedang berpelukan dan berciuman di khalayak ramai tanpa segan silu. Tetapi kita ingin bersangka baik dengan perbuatan yang dilakukan oleh pasangan tersebut dengan mengatakan: 

"Jangan buruk sangka, mungkin mereka suami isteri."  

Sekiranya mereka suami isteri sekalipun, di dalam Islam mempamerkan perbuatan seperti bercium dan berpelukan di hadapan khalayak ramai adalah tidak wajar kerana ia hanya akan mengundang fitnah. Perbuatan tersebut juga tidak sesuai dilihat oleh kanak-kanak yang masih kecil. Jika kita tidak mengenali pasangan tersebut, mungkin kita hanya mampu menegur dengan lisan. Tetapi jika tidak mampu, tegurlah dengan hati. Mahu menegur sekalipun bukanlah dengan mengeluarkan kata-kata kesat dan maki hamun tetapi tegurlah atau doakan yang baik-baik untuk pasangan tersebut supaya mereka menjadi muslim yang lebih baik.

Memang kita tidak boleh bersangka baik terhadap perkara-perkara maksiat tetapi jangan pula kita mengeluarkan kata-kata hinaan dan makian dengan mengatakan: "Cuba tengok couple tu amboi syoknya bercium berpeluk sakan. Buruknya perangai. Kesian mak bapak dorang ni. Dapat anak perangai macam setan..!! Silap haribulan mengandung anak luar nikah. Lepastu campak anak dalam tong sampah..."

Tak perlu lah kita menjadi Tuhan yang boleh menentukan perkara yang akan terjadi selepasnya. Doakan saja yang baik-baik supaya mereka diberikan taufik hidayah dari Allah SWT. Sekiranya suatu hari Allah SWT memberi hidayah kepada pasangan tersebut, mungkin mereka menjadi hamba Allah yang lebih baik dari kita.

"Serulah (manusia) kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah dan pengajaran yang baik, dan berdebatlah dengan mereka dengan cara yang baik. Sesungguhnya Tuhanmu, Dialah yang mengetahui siapa yang sesat dari jalan-Nya dan Dialah yang lebih mengetahui siapa yang mendapat petunjuk" 
(Surah An-Nahl: ayat 125)

Bersangka Buruk yang Diharuskan

Tidak semua situasi kita kena bersangka baik. Ada juga situasi yang mengharuskan kita bersangka buruk. Contohnya sejak akhir-akhir ini terdapat banyak kejadian rogol yang berlaku di kawasan-kawasan perumahan yang kita dengar dari dada akhbar dan berita. Pada suatu hari sedang kita berjalan dari tempat letak kereta ke rumah, terdapat seorang lelaki yang agak mencurigakan sedang berdiri di suatu sudut yang agak gelap. Bukanlah mahu menuduh lelaki tersebut, tetapi kita harus mengambil sikap berjaga-jaga sekiranya ia dapat mengancam keselamatan diri kita.

Dalam hidup yang serba mencabar, mahu sentiasa bersangka baik memang agak susah. Aku tidak kata aku tidak pernah bersangka buruk. Pernah. Setiap manusia mesti ada melakukan kesalahan cuma yang membezakan adalah samada kita belajar dari kesilapan atau tidak. Dengan iman yang sedikit, aku bukanlah sesempurna muslimah yang lain. Aku menulis ini pun seolah-olah aku menegur diri aku sendiri. Mentarbiyah diri sendiri yang serba kekurangan. Sama-samalah kita berusaha untuk sentiasa bersangka baik. Bersangka baiklah walaupun dengan seorang pelacur. 

 Assalamualaikum.
 

Tak pandai baca Al-Quran

8.7.15


Assalamualaikum.
Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Maha Penyayang.


Tadi aku terbuka satu artikel dari satu blog yang menceritakan tentang kisah seorang suami yang tidak pernah berpeluang belajar mengaji Al-Quran ketika dia masih kecil dan Alhamdulillah Allah telah membuka hatinya untuk belajar membaca dan mengkaji Al-Quran pada usia separuh abad yang diceritakan oleh isterinya. Sungguh kuat azam si suami untuk belajar membaca Al-Quran membuang rasa malu pada isteri dan anak-anak. Bagi yang masih tidak tahu membaca Al-Quran masih belum terlewat sebelum maut datang menjemput. Jangan ada rasa malu untuk belajar.

Aku teringat masa usia aku 5 tahun, guru yang mengajar aku cukup tegas. Sebelum aku mula belajar mengaji Al-Quran, aku belajar mengenal huruf dari muqaddam. Setelah selesai mengenal huruf, aku mula belajar membaca Al-Quran. Susah, cukup susah. Walaupun kesalahan hanya sedikit, guru tidak membenarkan aku membaca di mukasurat seterusnya. Jika orang lain Al-Quran itu boleh dihabiskan dalam masa beberapa bulan. Bayangkan aku pernah membaca mukasurat yang sama berkali-kali dalam tempoh lebih dari seminggu. Sehinggakan aku pernah menangis kerana aku tidak dapat membaca Al-Quran secara lancar dengan tajwid yang betul. Kemudian, aku tekad untuk lebih banyak bertanya kepada guru aku dan mengambil segala tegurannya supaya aku dapat memperbaiki bacaan aku.

Selesai mengaji, selalunya guru aku akan mengajar ilmu tajwid Al-Quran. Setelah beberapa bulan barulah aku dapat membaca Al-Quran dengan lancar. Beberapa tahun selepas habis sekolah rendah, aku dah tak sentuh Al-Quran. Apalagi nak baca Al-Quran. Teruk kan?? Ya aku memang teruk. Teruk sebagai orang islam. Sehinggalah aku berumur awal 20-an. Ditakdirkan Allah aku kehilangan seseorang yang agak rapat denganku semasa aku belajar di universiti. Pemergiannya memberi impak yang besar dalam hidup aku. Aku mula mengubah cara hidupku. Dari segi pemakaian, sikap, pergaulan dan seterusnya memperbaiki amal untuk bekalan di 'sana' nanti. Walaupun belum cukup sempurna dan masih merangkak-rangkak mencari hala tuju tapi aku yakin setiap usaha pasti akan ada hasilnya nanti walaupun perlahan-lahan. In Sha Allah.

Satu benda yang buat aku sedih bila aku mula membaca Al-Quran, aku langsung tak dapat nak baca walaupun sepotong ayat dengan lancar. Tergagap-gagap. Tersekat-sekat. Bacaan aku tunggang langgang. Tajwid entah kemana. Aku terus tutup Al-Quran. Aku sedih sangat dengan diri aku. Malu pada Allah dan orang sekeliling. Mengaku islam tapi baca Al-Quran tak lancar.

Pernah sekali, ketika itu aku berada di tahun akhir universiti harus menyiapkan satu projek akhir. Aku membina satu aplikasi untuk kanak-kanak belajar berdoa. Masa bentang projek akhir pada salah seorang penilai, dia mendengar bacaan doa-doa dari voice over suara aku sendiri. Tiba-tiba dia bertanya:

"Awak pernah sekolah agama ke??"
"Tak la saya sekolah biasa je. Saya tak pernah sekolah agama pun.."
"Tapi kan sebutan dan bacaan awak bagus.."

Sejak dari hari itu, agak lama jugak aku nak bermula dari awal untuk buka, baca dan fahami Al-Quran. Langkah pertama adalah aku cari balik buku tajwid yang aku pernah beli dulu. Aku flash back balik apa yang pernah aku belajar dulu. Disebabkan dulu aku memang dah pernah belajar tajwid Al-Quran dari guru jadi tak susah untuk aku faham. Walaupun agak susah jugak nak baca dengan lancar, aku usaha semampu yang boleh. Aku juga selalu dengar alunan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran dari ustaz-ustaz. Jadi sedikit sebanyak membantu aku untuk memperbaiki bacaan aku. Alhamdulillah sekarang aku dah dapat baca Al-Quran dengan agak lancar.

Bagi yang masih tak pandai baca Al-Quran, jangan putus asa. Masih ada masa lagi untuk kita semua belajar yang penting usaha untuk belajar. Jangan terus bersedih dengan kekurangan diri sampaikan perasaan down tu menyebabkan kita putus asa untuk belajar. Jangan terlalu banyak alasan. Nak kata susah, semua benda pun susah. Ada yang belajar baca Al-Quran sejak kecik dengan mak ayah siap kena pukul lagi. Ada inisiatif lain untuk belajar. Boleh pergi ke kelas-kelas yang mana ada guru yang mengajar bagaimana membaca Al-Quran serta dengan ilmu tajwid sekali. Malu tu kekangan terbesar untuk kita belajar membaca Al-Quran. Dengan perasaan malu itu lah yang membuatkan kita malu nak bermula dari bawah.

Bab ni aku memang tak boleh nak nasihat banyak-banyak sebab aku pun lalui perasaan yang sama cuma bezanya, aku sedikit sebanyak telah didedahkan dengan bacaan dan ilmu tajwid Al-Quran sejak aku kecil lagi cuma bila dah ditinggalkan Al-Quran begitu lama lidah aku jadi kelu dan keras. Betul kata orang bila kita tinggalkan membaca Al-Quran, lidah kita jadi keras. Nak baca satu ayat pun cukup payah. Aku pun teringin nak dapatkan guru agama yang boleh guide dan monitor bacaan aku yang aku rasa banyak lagi cacat celanya. In sha Allah aku akan usaha.

Oh ya kalau boleh bacalah Al-Quran dengan terjemahannya sekali sebab kalau baca saja tapi tak faham makna seolah-olah kita membaca satu buku tapi tak faham storyline buku tersebut. Jadi tak ada input yang kita dapat dari apa yang kita baca. Kalau kita baca sambil merenung segala makna ayat-ayat Al-Quran yang diturunkan Allah baru kita dapat faham apa tujuan kita hidup dekat dunia.

Aku ceritakan semua ni bukan untuk membuka aib atau mendabik dada, ianya hanya sekadar sebuah bingkisan hidup yang mana terlalu banyak kekurangan diri sebagai renungan bersama. Jadi sesiapa yang nak mula belajar, good luck and do the best!! Oklah selamat berpuasa.

As Salam.


Nama anak Mak Teh

6.7.15


Assalamualaikum.
Dengan Nama Allah yang Maha Pengasih Maha Penyayang.


Aku dah lama tak jumpa anak buah aku, asal balik kampung je dorang dah balik rumah. Rindu sikit la terutamanya si kecik, nisa. Nampak jantan tapi muka ayu. Hari tu aku balik kampung awal sikit. Dapat la jumpa dorang berdua, Dina dan Husna aka Alia. Aku suka buat aksi pelik-pelik sikit. Aku nak bagi kakak (Dina) gelak gembira sebab jarang aku tengok dia gelak. Iya la pergi sekolah asyik kena buli je.

Heee~ Kesian. Biasalah tu budak zaman sekarang asal gaduh sikit tak nak kawan. Asal lemah sikit, kena ejek. Sama la macam aku dulu. Tapi aku ni jenis hati kering lantak kau la nak cakap apa pun ada aku kisah?? Tak nak kawan sudah sebab sepanjang aku sekolah tak ada lagi aku rasa tak ada kawan walaupun aku ni pendiam macam mulut ada batu permata. Jangan tak tahu sekolah menengah dari form1-5 yang jadi kawan baik aku semua yang fofular dan cantik meletops. Bongkak betul ayat timah kan??

Berbalik cerita tadi, Dina asyik suruh aku buat benda yang sama berulang kali. Dia cakap makteh ni kelakar la buat la lagi. Aku tak boleh la buat aksi 'tak boleh blah' tu dua kali rasa macam fake sangat. Hahaha. Sekali cukup. Baru rare sikit. Kalau bakal mak mertua aku nampak perangai gila aku, aku rasa dia akan mimpi ngeri. Alia nampak cincin kat tangan aku. 

"Ni sapa bagi pakwe makteh ke??" 
"Tak ada lah ni bakal suami bagi, Pakwe-pakwe tak main lah."
"Mak teh dah nak kawen eaaa...."
"Haah la..Nanti mak teh dah kawen dapat anak, nama anak makteh Rabiatul Adawiyah"

Jadi bermula la aksi pelik aku yang membuatkan dorang geli hati. Terkekek gelak. Padahal aku buat-buat menggelupur pengsan sambil buat muka tak cantik. Perangai yang ni aku berani tunjuk kat budak kecik je yang dah besar memang tak la. Malu aku. Minggu yang seterusnya aku balik kampung, yang ada kat rumah cuma umairah. Dok sembang-sembang dia tanya:

"Mak teh.. husna kata makteh dah ada anak. Nama anak makteh Robiantu Hanafiah..."

Aku tergelak. Jauh sangat. Nama tu aku pilih sebab aku suka dengan kisah hidup Rabiatul Adawiyah yang mana hidup dan matinya hanya untuk Allah SWT. Sentiasa rindu untuk bertemu dengan Kekasih yang paling dicintainya iaitu Allah SWT. Wanita solehah yang memilih tidak berkahwin dan meninggalkan segala kemewahan dunia kerana cintanya kepada Allah SWT melebihi segala-galanya. 

"Bukan Robiantu Hanafiah, tapi Rabiatul Adawiyah.."
"Eee husna ni tipu je. Ingat anak makteh tu hantu ke??Haha.."
"Tu la. Hee. Husna tu kan memang macam tu."

Bila sebut pasal anak ni, jauh lagi sebenarnya perjalanan hidup aku. Aku pun tak tahu panjang lagi ke umur aku untuk mengecapi bahagia dengan seorang lelaki yang bernama suami dengan adanya permata-permata hati aku. Kalau ditakdirkan aku berkahwin sekalipun aku tak tahu samada Allah bagi rezeki anak cepat atau lambat. Ada atau tidak. Sempurna atau kurang sempurna. Sihat walafiat atau sakit. Allah menguji hamba-Nya dengan pelbagai cara. Bagi kawan-kawan aku yang dah lama berkahwin tapi masih tak dapat rezeki zuriat, sabarlah. 

Setiap yang berlaku ada tujuan Allah merencanakan perjalanan hidup kita sebegitu. Jangan berputus asa. Teruskan berusaha. Bila dah dapat anak walaupun seorang sekalipun, didik anak jadi insan yang berkualiti. Jangan ramai anak tapi serupa macam tak ada anak, yang akhirnya rumah orang tua tempat tinggal kita. Didiklah anak dengan ilmu akhirat supaya bila kita dah tak ada nanti, zuriat kita tu nantilah yang akan mendoakan kita. Oh ya sebelum nak didik anak, selidiki diri adakah anda dapat menjadi role model untuk anak-anak?? Kalau belum bersedialah dari sekarang ye.

Ok lah Selamat Berbuka Puasa. 

As Salam.

 
S Pink Premium Pointer